Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Raja Salman Bin Abdulaziz Al Saud telah menggantikan Putera Mahkota Mohammed Bin Nayef dengan anaknya sendiri, Mohammed Bin Salman Al Saud.
Menurut sebuah titah diraja, Mohammed Bin Salman, 31 tahun, turut dinamakan sebagai timbalan perdana menteri dan akan mengekalkan portfolionya sebagai menteri pertahanan negara Arab tersebut. Perkara itu dilaporkan oleh Saudi Press Agency (SPA) pada hari Rabu.
Media Arab Saudi turut melaporkan bahawa Raja Salman telah menyeru supaya upacara sumpah setia segera dilaksanakan di kota suci Mekah pada malam Rabu.
SPA turut mengesahkan bahawa 31 orang daripada 34 orang anggota majlis pewarisan takhta Arab Saudi telah memilih Mohammed Bin Salman sebagai putera mahkota yang baru.
Di dalam sebuah tindakan yang hampir sama, Raja Salman pada tahun 2015 telah memilih sepupunya, Mohammed Bin Nayef sebagai putera mahkota untuk menggantikannya abang sebapanya Muqrin Bin Abdulaziz Al Saud. Mohammed Bin Nayef sebelum itu memegang jawatan timbalan putera mahkota negara Arab itu.
Di bawah titah terbaharu itu, Raja Salman turut memecat Mohammed Bin Nayef dari jawatan menteri dalam negeri.
Perlantikan ini juga menjadikan portfolio Mohammed Bin Salman lebih besar daripada sebelumnya memandangkan dia sudahpun memegang beberapa jawatan tinggi di dalam kerajaan Arab Saudi. Selain daripada menteri pertahanan, Mohammed Bin Salman juga merupakan Pengarah Istana Saud dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan yang ditugaskan untuk membaik pulih ekonomi negara Arab itu. -ABNA24
/315
21 Jun 2017 - 06:54
News ID: 837813
Raja Salman Bin Abdulaziz Al Saud telah menggantikan Putera Mahkota Mohammed Bin Nayef dengan anaknya sendiri, Mohammed Bin Salman Al Saud.